En. Zakaria Ibrahim, 83 telah mula mengusahakan tanah berkenaan sejak 1958 dan beliau telahpun memiliki geran tanah terbabit sejak 15 tahun lalu, rasa terkejut apabila didatangi pekerja daripada syarikat terbabit yang mahu meratakan tanah miliknya itu baru-baru ini.
"Saya tak benarkan mereka masuk ke kawasan tanah saya, sehingga status tanah ini diselesaikan dengan cara yang baik," katanya 
Kossim Abdullah 68, dari Kampung Ulu di sini juga kecewa apabila dimaklumkan tiga hektar tanahnya akan diratakan oleh syarikat perladangan swasta terbabit.
"Sebelum ini saya pernah memohon geran daripada pejabat tanah pada 2003, dan selepas selesai segala proses tiga tahun selepas itu (2006), saya mula menanam pokok getah.
"Selepas itu tidak timbul apa-apa masalah sehingga baru-baru ini, syarikat terlibat mendakwa tiga hektar tanah saya memasuki dalam tanah milik mereka.
"Tiga hektar itu melibatkan sebanyak 2,000 batang pokok getah yang setiap bulan menghasilkan pendapatan RM1,000 kepada saya dan keluarga.
"Saya kecewa memandangkan kami sebagai penduduk kampung ini hanya mengharapkan tanaman getah untuk menyara kehidupan seharian," katanya.
Anak seorang peneroka, Muhammad Hanif Hamid, 27 berkata, kesemua peneroka di kawasan terbabit sebulat suara ingin mempertahankan tanah yang telah diusahakan mereka sejak sekian lama itu.
"Ketika pemerintahan kerajaan terdahulu, mereka berjanji akan menyerahkan satu kawasan tanah simpanan di Bukit Keramat, di sini kepada syarikat perladangan itu sebagai ganti.
"Ini bermaksud peneroka dapat meneruskan aktiviti di ladang seperti biasa, namun selepas bertukar kerajaan, janji itu tidak ditunaikan," katanya.
Menurut Muhammad Hanif, dia berharap kerajaan negeri dapat mencari jalan penyelesaian terbaik supaya peneroka di sini, tidak ditindas sewenang-wenangnya.
"Apatah lagi rata-rata peneroka di sini adalah warga emas, mereka tidak mempunyai pekerjaan lain yang boleh dilakukan untuk menyara keluarga," katanya.

Oleh
Tinta Biru