Selasa, 10 September 2019

Beli Produk Muslim Menteri diingatkan agar jangan termakan suapan

Kempen Beli Produk Muslim dilancarkan Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) dengan kerjasama Koperasi Al-Hilal Berhad (Kohilal) dan ABATA Commerce Sdn Bhd, bagi tujuan membantu meningkatkan pendapatan peniaga Islam dan memberi alternatif lain kepada masyarakat Islam.
Bagaimanapun, kempen berkenaan tidak disokong oleh anggota Kabinet, termasuk Menteri Kewangan, Lim Guan Eng yang mahukan usaha itu dihentikan kerana didakwa menjejaskan perpaduan nasional dan merugikan pengguna.
Bukan hanya dikritik dan ditentang parti tamak haloba itu malah usaha berkenaan turut ditolak kerajaan rasis Pakatan Harapan (PH) – yang turut dianggotai pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Parti Amanah Negara (PAN) dan PKR – yang menganggap tindakan itu sebagai boikot dan tidak wajar.
Mengulas perkara itu,  pendakwah bebas, Firdaus Wong, yang juga Presiden Presiden Multiracial Reverted Muslim (MRM) berkata. "Semua pihak sepatutnya faham bahawa kempen berkenaan adalah mengutamakan produk keluaran muslim terlebih dahulu bukannya kempen memboikot". 
Beliau menasihati agar "Jemaah menteri tidak patut termakan ‘suapan’ daripada media liberal berkenaan ‘Kempen Beli Produk Muslim’. Apabila mereka memutar belit sebagai kempen memboikot produk bukan muslim. " Kata Firdaus Wong Wai Hung lagi.
Paling penting katanya, "tidak timbul isu kononnya Islam mengajar ataupun tidak memboikot seperti yang dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa baru-baru ini."
“Mereka kena tahu, kempen ini sama seperti kempen yang kerajaan lancarkan ketika pembentangan Bajet 2019 apabila memperuntukkan RM20juta untuk kempen Beli Produk Malaysia. 
“Itu adalah kempen utamakan produk Malaysia bukannya boikot produk buatan luar negeri,” katanya menjelaskan salah faham yang berlaku terutama membabitkan menteri. 
Ia termasuk Mujahid, apabila mendakwa Islam menekankan pembelian barangan halal dan bersih, tetapi tidak mengajar umatnya memilih produk berdasarkan kaum serta agama.
Ahli Parlimen Parit Buntar itu berkata, ajaran Islam tiada kaitan dengan kempen mengutamakan produk Islam yang dicanangkan sesetengah pihak.
Selain itu, Firdaus menggesa pemimpin politik memberi komen terhadap kempen memboikot sistem pendidikan negara oleh mereka yang bersekolah di sekolah vernakular dan mereka yang memboikot pengajaran khat jawi.
“Jangan apabila muslim mahu mengutamakan produk muslim, dikeluarkan macam-macam kenyataan tetapi apabila pihak yang suka merendah-rendah serta mengkritik Islam buat sesuatu, didiamkan dan lebih lunak terhadap mereka.
“Harap menteri jangan boikot kempen utamakan produk muslim, mereka patut sokong kempen ini untuk memperkasakan ekonomi muslim yang membayar zakat, dan dimanfaatkan oleh muslim yang lain,” katanya.

Oleh
Tinta Biru

Tiada ulasan:

Catat Ulasan